PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan Ketua Pengarah (KP) dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar bagi membantu siasatan berhubung kes berkaitan isu e-waste hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan sekitar pukul 6.30 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan dijalankan bagi meneliti dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan sisa elektronik (e-waste) yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya sebentar tadi.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan berkenaan.
Katanya siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh dan profesional mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau jawatan,” katanya.
Kes ini disiasat di bawah peruntukan Akta SPRM 2009 dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan SPRam dari semasa ke semasa.
Terdahulu, sebanyak 16 akaun bank bernilai nilai kira-kira RM10.2 juta dibekukan SPRM susulan siasatan kes rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.
Selain itu, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM telah disambung reman sehingga esok.
Sejumlah RM87,000 wang tunai dan barangan kes bernilai kira-kira RM220,000 juga telah disita termasuk kereta dan barang kemas. – KOSMO! ONLINE














