PETALING JAYA – Kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dibina dengan slogan semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh melalui profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman hari ini.
Anwar berkata, dalam kunjungan hormat itu, mereka membincangkan peranan strategik Tentera Darat sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat.
“Dalam konteks cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi, saya menekankan bahawa tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah lantas menuntut ketelusan, kejujuran dan keberanian untuk membersihkan kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Madani akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani.
Katanya, di samping itu akan memastikan kebajikan pegawai, anggota, keluarga serta veteran sentiasa diberi perhatian sewajarnya. – KOSMO! ONLINE














