KAWASAN berpaya berfungsi sebagai tempat simpanan air semula jadi, membantu mengawal banjir dan mengekalkan aliran air ketika musim kering. Ia juga menjadi habitat dan tempat pembiakan pelbagai spesies ikan, termasuk ikan pemangsa seperti haruan dan toman.
Degradasi kawasan berpaya memberi kesan terus kepada biodiversiti, malah menjejaskan kelangsungan aktiviti pancingan rekreasi.
Bagi pemancing, paya bukan sekadar lubuk untuk menguji kemahiran atau gewang, sebaliknya ia adalah ‘rumah’ kepada ikan yang diburu. Ini secara tidak langsung membina hubungan unik antara manusia dan alam.
Kesedaran ini membuka ruang bagi komuniti pemancing untuk menjadi penjaga alam secara tidak langsung, mengamalkan pancingan beretika dan memahami peranan ekosistem.
Inilah roh yang menjadi asas dalam siri-siri penganjuran Monsoon Swamp Monster (MSM).
MSM adalah satu acara yang bukan sekadar pertandingan memancing biasa, sebaliknya menggabungkan elemen komuniti, pendidikan dan pemuliharaan secara seimbang.
Sejarah
MSM bermula pada 2018 dengan nama Komplot Mega 2018 di Kampung Tok Kah, Dungun, Terengganu.
Oleh kerana mendapat sambutan yang hangat, tahun berikutnya ia dijenamakan sebagai Monsoon Swamp Monster 2019, dan acara dipindahkan ke Kampung Langgar di Kuala Berang.
MSM terhenti seketika ketika pandemik Covid-19 melanda negara. Namun semangat itu tidak pernah padam.
Selepas tempoh ‘berkurung’ tersebut, MSM kembali dengan nafas baharu melalui penganjuran edisi 2024 dan 2025 di Kampung Bukit Layat, Setiu.
Kini di lokasi yang sama, MSM 2026 muncul sebagai edisi kelima penganjurannya.
Satu pencapaian yang wajar diberi perhatian dalam landskap sukan memancing tempatan.
Kejohanan kali ini dijadualkan berlangsung pada esok dan lusa (30 dan 31 Januari 2026).
Kali ini, penganjur menggabungkan aktiviti memancing dengan pendidikan dan kesedaran alam sekitar.
Lebih menarik, penganjuran kali ini jelas menunjukkan kematangan dari sudut hala tuju.
Di bawah teraju Terengganu Fishing Association (TFA), MSM 2026 tidak lagi dilihat sebagai pertandingan memancing semata-mata. Namun sebagai medium mendidik pemancing tentang kepentingan kelestarian ekosistem demi kelangsungan aktiviti pancing rekreasi.
‘We are the revolution of the sustainable ecosystem’ bukan sekadar slogan, sebaliknya diterjemahkan melalui pengisian dan pendekatan keseluruhan acara.
Pendekatan MSM 2026 dibina atas tiga teras utama iaitu komuniti, pendidikan dan pemuliharaan.
Dari sudut komuniti, pelbagai acara sampingan dirancang bagi memastikan penglibatan bukan terhad kepada peserta pertandingan, malah merangkumi penduduk setempat dan pengunjung.
Antara aktiviti yang dijadualkan berlangsung termasuk larian santai, Fun Run D’Baruh, aktiviti Ngail D’Baruh, pertandingan memasak lauk ikan darat, tayangan wayang pacak, pameran daripada Jabatan Perikanan Terengganu serta jualan komuniti di tapak acara.
Kesemua ini menjadikan MSM 2026 lebih bersifat karnival rakyat berbanding acara eksklusif pemancing semata-mata.
Aspek pendidikan pula diterjemahkan melalui penganjuran klinik memancing yang dikendalikan oleh pemancing berpengalaman.
Klinik Ultralight Casting oleh Kanicen Nix dan Klinik Pancing Layang oleh Mr. Christopher dari Amerika Syarikat bukan sahaja membuka ruang pembelajaran teknikal, malah memberi pendedahan kepada pendekatan memancing lebih beretika dan mesra alam.
Ini penting dalam mendidik generasi pemancing baharu agar memahami bahawa kemahiran memancing perlu seiring dengan kesedaran menjaga sumber.

Selain itu, EXP Fishing sebagai penaja utama MSM 2026 turut dijadualkan mengadakan sesi perkongsian khas yang memberi fokus kepada dunia pancingan haruan, spesies ikonik paya di Malaysia.
Sebagai pengeluar peralatan memancing khusus untuk snakehead, perkongsian ini dijangka menyentuh pengalaman lapangan, pemilihan set peralatan yang sesuai serta pendekatan memancing lebih mesra pemancing dan ikan.
Dalam konteks pemuliharaan, kehadiran Jabatan Perikanan Malaysia yang sudi membuka gerai pameran sepanjang acara berlangsung menjadi antara komponen penting MSM 2026.
Pendedahan berkaitan spesies ikan asing dan ancamannya terhadap ekosistem tempatan memberi dimensi pendidikan yang jarang diketengahkan dalam acara memancing.
Langkah ini secara tidak langsung membantu pemancing memahami peranan mereka sebagai barisan hadapan dalam pemantauan kesihatan sumber perikanan negara.
Kategori pertandingan
Dari sudut pertandingan, MSM 2026 menawarkan struktur kategori yang komprehensif dan inklusif.
Selain kategori utama King of Toman dan King of Haruan, penganjur turut memperkenalkan kategori khas merangkumi spesies tertentu, kategori ikan jarang ditemui, serta kategori kanak-kanak dan remaja.
Pendekatan ini bukan sahaja memberi ruang persaingan yang lebih adil, malah menggalakkan penyertaan keluarga dan pemancing muda.
Menariknya, kategori utama King of MSM 2026 menekankan kerjasama pasukan berbanding kehebatan individu semata-mata.
Penentuan pemenang berdasarkan hasil terkumpul, kategori ini memperlihatkan nilai kolektif dan strategi, selari dengan semangat komuniti yang ingin dibina.
Dalam masa sama, peraturan penggunaan gewang sahaja merupakan salah satu usaha konservasi bagi mengurangkan tekanan terhadap populasi umpan semula jadi yang sering dieksploitasi untuk tujuan memancing.
Syarat menyerahkan ikan hidup bagi tujuan penjurian pula bukan sekadar langkah mengelakkan kecurangan dalam pertandingan.
Sebaliknya berperanan mendidik pemancing ke arah amalan tangkap dan lepas yang lebih beretika serta bertanggungjawab.
Dari sudut hadiah pertandingan, penganjur menyediakan hadiah menarik hasil sumbangan rakan-rakan penaja sebagai penghargaan kepada peserta, sekali gus menyemarakkan suasana pertandingan.
Namun, MSM 2026 tidak meletakkan nilai hadiah sebagai ukuran utama kejayaan acara.
Fokus penganjuran ini lebih tertumpu kepada pembinaan kesatuan komuniti pemancing rekreasi, pengukuhan jaringan hubungan dengan masyarakat setempat dan pemain industri, serta usaha mempromosikan sumber alam semula jadi negara.
Dalam konteks ini, nilai sebenar MSM 2026 terletak pada pengalaman, kesedaran dan hubungan yang terjalin.
Ini menjadikan setiap penyertaan lebih bermakna daripada sekadar mengejar ganjaran material semata-mata.
Dengan kerjasama antara komuniti, industri, institusi pendidikan dan pihak kerajaan, MSM membuktikan bahawa sukan pancing rekreasi mampu menjadi agen perubahan sosial dan alam sekitar.
Pemancing, komuniti dan ekosistem paya saling bersepadu, membina hubungan yang lebih bermakna antara manusia serta alam.














