JOHOR BAHRU – Dua orang suruhan along mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan harta benda milik empat mangsa rosak, tahun lalu.
Tertuduh, T. Adrian Arvin, 26, dan S. Kaarthivi Raj, 27, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan dua hakim.
Di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim, mereka secara bersama didakwa atas atas pertuduhan pilihan melakukan khianat dengan api dengan membakar bahagian hadapan rumah seorang lelaki sehingga menyebabkan kerosakan harta tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Kampong Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini pada pukul 1.45 pagi, 19 November 2025.
Di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee pula, mereka didakwa atas tiga pertuduhan pilihan melakukan kesalahan sama sehingga menyebabkan kebakaran lantai dan pakaian milik tiga mangsa di Taman Universiti, Iskandar Puteri dan Taman Kota Masai, Pasir Gudang antara 8 November dan 6 Disember 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM35,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain perlu lapor diri setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 25 Februari dan 11 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE














