KUALA KRAI – Sebutir bom jenis Aerial yang dijatuhkan dari udara (bom-air drop) sepanjang 58 sentimeter (cm) dan lebar 17 cm dijumpai di kawasan ladang sawit milik sebuah syarikat di Gua Ikan di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, Balai Polis Dabong menerima maklumat berhubung penemuan objek besi disyaki bom di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.28 tengah hari.
Menurutnya, polis bersama Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan bergegas ke ladang kelapa sawit itu untuk menjalankan siasatan awal berkaitan objek tersebut.
“Kawasan itu kemudian telah ditutup sepenuhnya kepada orang awam. Siasatan mendapati objek tersebut merupakan bom jenis Aerial ‘bom-air drop’ sepanjang 58 cm dengan lebar 17 cm.
“Tindakan pemusnahan bom itu berjaya dilaksanakan pada pukul 5.56 petang tadi tanpa sebarang kerosakan harta benda awam atau kehilangan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, orang ramai perlu segera melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sekiranya menjumpai objek atau benda menyerupai bahan letupan. – KOSMO! ONLINE














