fbpx
Mohamad Aqlan Marwan (dua dari kiri) dituduh memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian tiga beranak di Mahkamah Majistret Kulim, hari ini.

Lelaki dituduh pandu melulu, akibatkan kematian tiga beranak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Seorang pekerja pemasaran sebuah bengkel kenderaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak pada 18 Januari lalu.

Tertuduh, Mohamad Aqlan Marwan Mohamad Toha, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret, Nur Hamizah Mat Shah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Proton S70 secara melulu sehingga melanggar sebuah Perodua Viva di Jalan Kulim-Mahang, di sini kira-kira pukul 5 petang, 18 Januari lalu.

Kejadian itu menyebabkan kematian Muhammad Syazwan Mohd. Surodjidin, 25, serta dua anaknya, Muhammad Aqeel Afnan, 4, dan Muhammad Affan Mikhael, 2.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda minimum RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nursalwati Wan Kamarul Ariffin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Datuk Kamal Pasha Jamal yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana tertuduh hanya berpendapatan RM3,000 sebulan serta terpaksa menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia dua tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan sebutan semula kes pada 3 Mac depan bagi serahan dokumen.

Mahkamah turut memerintahkan agar lesen memandu tertuduh digantung dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai. Tertuduh membayar jaminan yang dikenakan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga beranak maut selepas Perodua Viva yang dinaiki mereka dirempuh Proton S70 yang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

Kejadian berlaku ketika lelaki tersebut bersama dua anak kecilnya dalam perjalanan untuk menjemput isterinya di tempat kerja di Sungai Ular, di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI