PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana disyaki terlibat rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja-kerja di tempat pegawai kanan tersebut bekerja.
Turut ditahan reman selama tujuh hari ialah seorang pengarah syarikat selepas Majistret A. Hafiizh Abu Bakar mengeluarkan perintah itu susulan permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an telah ditahan kira-kira pukul 6.50 petang dan 9.40 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Ipoh, Perak.
“Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2017 sehingga 2020.
“Siasatan awal turut mendapati suspek yang merupakan pegawai kanan TLDM disyaki memiliki harta melebihi jumlah emolumen yang diterima.
“Ia seperti pemilikan kira-kira lapan aset tidak alih terdiri daripada tiga buah rumah, tiga buah rumah kedai dan dua buah hotel yang didaftarkan atas nama beliau,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Tambah sumber, siasatan turut mendapati terdapat kemasukan sejumlah wang dari sumber yang diragui bernilai kira-kira RM2 juta ke dalam akaun peribadi dan dua akaun syarikat perhotelan milik pegawai tersebut.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














