TREND mencetuskan polemik dan mencipta isu yang tidak wujud dilihat semakin membimbangkan. Fenomena itu dilihat makin rancak di media sosial apabila isu kecil diperbesarkan sehingga mencetuskan ketegangan antara masyarakat, sedangkan realitinya berbeza.
Pengamal undang-udang, Nor Zabetha Mohamed Nor berkata, budaya ‘mencari sebab untuk marah’ dan cenderung menyalahkan pihak tertentu kini menjadi senjata paling mudah untuk mencetuskan konflik, walaupun situasi sebenar tidak seteruk yang digambarkan.
Keadaan itu berlaku apabila ada pihak sengaja memancing emosi orang ramai bagi meraih sokongan, pengaruh atau perhatian, terutama ketika masyarakat stabil.
“Kadang-kadang isu itu tidak wujud pun, tetapi orang tetap cari sesuatu untuk dibangkitkan. Bila aman, ada yang nak panaskan keadaan,” katanya.
Jelasnya, tindakan mencipta naratif penindasan tanpa asas menyebabkan masyarakat hidup dalam curiga dan mudah berpecah disebabkan provokasi berterusan.
“Orang akan cari siapa untuk dipersalahkan. Selepas itu isu diperbesarkan, lalu mereka bangkit sebagai ‘pejuang’ dan kononnya penyelamat masalah yang tak wujud,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan pendekatan itu sebagai antara kaedah propaganda yang pernah digunakan pihak berkepentingan dan pemerintah kuku besi untuk mengukuhkan pengaruh.
Katanya, apabila propaganda dan naratif disuntik secara konsisten, lama-kelamaan jurang dalam masyarakat akan melebar dan sukar dipulihkan.
Beliau turut menegur kecenderungan melabel pandangan orang ramai sebagai cubaan memainkan sentimen 3R (Raja, agama, kaum) walaupun ada isu yang dibincangkan sebenarnya berkaitan hak dan peruntukan yang jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Nor Zabetha turut menyentuh isu seorang wartawan yang bertanyakan kepada tokoh aktivis, George Galloway mengenai perbandingan situasi kaum di Malaysia dan Palestin.
Katanya, soalan itu boleh membentuk persepsi keterlaluan seperti negara dalam penindasan teruk, sekali gus mengundang reaksi daripada pihak luar yang melihat realiti negara ini jauh berbeza.
Beliau merujuk respons George Galloway yang menyifatkan rakyat Palestin sebagai antara yang paling teruk ditindas di dunia, manakala di Malaysia pula, tiada kelihatan kereta kebal, senjata atau jalan khas untuk membezakan rakyat.
Perbandingan melampau itu bukan sahaja boleh menimbulkan salah faham, malah berisiko menyuntik fahaman ‘kami tertindas’ sehingga ia menjadi kepercayaan kolektif dalam kalangan masyarakat tertentu.
“Benda yang tidak pernah berlaku, lama-lama jadi macam realiti. Bila naratif itu diulang, makin ramai percaya,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati menerima dan menyebarkan naratif tidak berasaskan fakta kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dan mengheret negara ke arah perpecahan.
Media dan masyarakat perlu mendidik orang ramai dengan perbincangan lebih rasional dan seimbang, bukannya menyalakan api sentimen yang akhirnya mencetuskan kebencian berpanjangan. -KOSMO! ONLINE















