PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diraikan sempena Hari Wesak mampu menjadi benteng terhadap usaha segelintir pihak yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum dan agama.
Menurutnya, penyebaran nilai kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, sekali gus menjernihkan prasangka serta memperkukuh rasa hormat dan persefahaman dalam kalangan masyarakat.
Anwar menerusi hantaran di laman Facebook berkata, Hari Wesak mengajak rakyat merenung nilai-nilai luhur seperti kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang yang menjadi asas penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Katanya, nilai-nilai tersebut bukan sahaja diraikan dalam tradisi keagamaan, malah terus relevan dalam usaha membina masyarakat yang saling memahami dan menghormati antara satu sama lain.
“Dalam negara yang rencam budaya, agama dan latar kehidupan, nilai cinta, ihsan dan kasih sayang yang diangkat ketika sambutan Wesak memberi makna mendalam.
“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman yang menjadi asas kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar sambutan Hari Wesak tahun ini membawa ketenangan, kesejahteraan dan kebahagiaan kepada seluruh penganut Buddha di negara ini.
Pada masa sama, beliau berharap sambutan tersebut terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang mampu menyatukan rakyat sebagai sebuah bangsa yang beradab dan bermaruah. – KOSMO! ONLINE.














