MEKAH – Kekuatan umat Islam tidak cukup sekadar berasaskan ibadah semata-mata, sebaliknya perlu memperkukuh kesatuan ummah dan meninggalkan perpecahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Rasulullah melalui Khutbah Haji Wada‘ (Terakhir) telah menggariskan asas penting dalam pembinaan masyarakat bertamadun.
“Seruan Rasulullah bukan sekadar memperbanyakkan ibadah dan munajat, akan tetapi menekankan kepentingan memelihara nyawa, harta dan maruah, menunaikan amanah, menjauhi riba, perpecahan, sikap taksub serta segala bentuk akhlak jahiliah yang merosakkan keharmonian.
“Baginda juga mengingatkan umat agar tidak mempermainkan hukum Tuhan menurut hawa nafsu dan kepentingan duniawi,” katanya ketika menyampaikan Khutbah Arafah di sini, semalam.
Menurut Zulkifli, Nabi Muhammad SAW mengajak agar menegakkan keadilan, memelihara persaudaraan sesama insan serta mengurus kehidupan berlandaskan syariat Tuhan.
“Kesemua ini merupakan ramuan terbaik dalam pembentukan masyarakat Madani yang berpaksikan wahyu Ilahi,” katanya.
Zulkifli berkata, justeru itu akhlak yang diajar dalam ibadah haji bukan sekadar hubungan dengan Allah tetapi juga sesama manusia termasuk alam.
Katanya, perkara itu menjadi asas penting masyarakat yang harmoni dan sejahtera atau Masyarakat Madani yang dibina oleh Rasulullah.
“Haji bukan sekadar perjalanan menuju ke tanah suci, tetapi perjalanan kembali kepada fitrah yang sebenar.
“Amal ibadat itu tidak hanya bermaksud untuk kerja-kerja akhirat atau persiapan mati sahaja, akan tetapi merangkumi tujuan membaiki akhlak, membaiki laku perangai, membaiki kelakuan hidup atau sesuatu yang mengelokkan sifat-sifat keperangaian dan budi pekerti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














