fbpx
KEPIMPINAN dan Exco FAM didakwa bakal meletakkan jawatan beramai-ramai sebagai langkah mengelak penggantungan oleh FIFA.

FAM perlu buat penjelasan paling wajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa untuk bersedia dengan alasan paling wajar sekiranya berita mengenai peletakan jawatan beramai-ramai Jawatankuasa Eksekutif (Exco) benar-benar berlaku.

Khabar angin bertiup kencang ketika ini apabila dikatakan kepimpinan tertinggi FAM akan melakukan tindakan tersebut pada 28 Januari nanti sekali gus mencetus polemik baharu ketika isu pemalsuan dokumen melibatkan pemain warisan masih belum berakhir.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, apa juga keputusan yang bakal dibuat perlu mempunyai alasan yang munasabah terutama selepas badan induk itu sudah pun membawa kes pemalsuan dokumen ke peringkat Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

“Kalau betul akan ada peletakkan jawatan, peminat pasti mahu tahu apa tujuan sebenarnya kerana bagi saya kalau ia betul mesti ada sebab kenapa perlu letak jawatan.

“Kalau berkaitan pemain warisan, FAM pun sudah bawa ke CAS. Buat masa sekarang, masih terdapat banyak benda yang boleh jadi persoalan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini menyiarkan bahawa Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi berkata, barisan EXCO terbuka untuk meletakkan jawatan secara ‘sehati sejiwa’ andai itu pilihan terbaik untuk memastikan badan induk itu tidak digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Penggantungan FAM oleh FIFA bakal menjadi titik hitam kepada industri bola sepak kerana ia membabitkan banyak pihak berkepentingan seperti halangan penyertaan Harimau Malaya di pentas antarabansa, nasib jurulatih, pemain dan juga penganjuran Liga Malaysia (Liga M).

FAM dijangka berdepan dua situasi berbeza sekiranya berlaku peletakan jawatan secara beramai-ramai kerana ia memungkinkan campur tangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Positifnya, wujud dakwaan idea peletakkan jawatan Exco adalah bagi mengelak penggantungan FAM oleh FIFA, namun dalam masa sama terdedah dengan risiko terus ‘dibogelkan’ jika dua badan induk utama bola sepak itu mendapati banyak kelemahan yang wujud dalam pentadbiran sedia ada.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul sebelum ini menjelaskan jika FAM dikenakan penggantungan, segala aktiviti bola sepak terhad dalam Malaysia sahaja dan tidak boleh membawa cabaran Malaysia ke pertandingan antarabangsa.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN