SHAH ALAM – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Selangor menyerbu sebuah syarikat perkhidmatan kurier semalam selepas dipercayai gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 dan tidak membayar gaji lebih masa (OT) kepada pekerja.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Betty Hasan berkata, seramai 120 pekerja tempatan dan 175 pekerja asing diperiksa dalam operasi bermula 9 pagi hingga 11.30 malam.
Katanya, pekerja asing tersebut terdiri daripada warga Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah majikan gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2024 dan pelanggaran Akta Kerja 1955 membabitkan Seksyen 25A berkaitan bayaran gaji secara tunai. Selain itu, Seksyen 60A kerana tidak membayar OT,” katanya.
Kesemua kesalahan itu akan diambil tindakan selaras dengan akta-akta berkaitan.
Katanya, JTKSM akan terus giat melaksanakan operasi penguatkuasaan secara konsisten selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan bagi memastikan kebajikan pekerja termasuk asing dipelihara.
“Pada masa sama, operasi ini turut menjadi medan kepada JTK memberi penerangan, nasihat dan bimbingan kepada majikan supaya mematuhi undang-undang buruh. Ini selaras usaha kerajaan mewujudkan persekitaran pekerjaan yang adil, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE














