KUALA LUMPUR – Realiti kehidupan penghantar makanan kini semakin pahit apabila ramai terpaksa menunggang motosikal di antara 12 hingga 15 jam sehari di jalan raya demi memastikan pendapatan sekadar mencukupi.
Jika suatu ketika dahulu sektor ekonomi gig dianggap lubuk emas dengan pendapatan mencecah RM6,000 sebulan, kini ramai rider mengakui mereka sekadar bekerja untuk kelangsungan hidup bersama isteri dan anak-anak.
ini tidak lagi menjanjikan masa depan cerah dan sekiranya mempunyai peluang pekerjaan lain yang lebih baik, mereka tidak mahu lagi menghantar makanan.
Seorang rider, Hamizah Taher, 35, berkata, pendapatannya merosot ketara berbanding ketika mula menceburi bidang itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada tahun 2020.
“Dahulu saya boleh dapat RM4,000 hingga RM5,000 sebulan. Sekarang kalau rajin pun sekitar RM3,000. Kalau pesanan perlahan, nak cecah RM1,500 hingga RM2,000 pun susah,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, walaupun sedar risiko pekerjaan itu semakin tinggi, fleksibiliti masa menyebabkan dia masih bertahan kerana perlu menguruskan kesihatan diri dan menjaga ibunya yang uzur.
“Kalau ikutkan kos, masa dan risiko kemalangan, memang tak berbaloi jadi rider sepenuh masa. Saya nasihatkan kepada anak-anak muda, kalau mahu jadi rider, hanya sebagai kerja sambilan,” katanya.
Muhamad Nurnazmi Mohd. Nasir, 33, pula mendedahkan pendapatan hariannya turut merosot sehingga 40 peratus, meskipun tempoh bekerja semakin panjang ekoran kadar bayaran setiap pesanan yang menyusut.
Katanya, sebelum ini jika bekerja selama 12 jam boleh meraih RM250 hingga RM300 sehari, tetapi kini hanya RM150 hingga RM200.
“Kadar satu pesanan juga telah turun daripada RM7 kepada RM5 bagi Batch 1. Lebih membimbangkan, jika mahu kekal bersaing dan tidak terkeluar daripada Batch 1, dia terpaksa bekerja lebih 90 jam seminggu.
“Kononnya kerja gig ini bebas, tapi hakikatnya setiap minit dikira sebagai pendapatan. Walaupun cuti sehari, kedudukan batch boleh jatuh. Kami terpaksa bekerja minimum 12 hingga 15 jam sehari untuk terus hidup,” katanya.
Turut berdepan realiti sama, seorang lagi rider, Mohd. Ariff Azlan, 29, yang terpaksa bekerja sehingga 15 jam sehari bagi memastikan pendapatannya mencukupi untuk menampung kos sara hidup di ibu kota.
“Kalau kerja bawah 10 jam, memang tak lepas nak bayar sewa rumah, minyak petrol dan makan minum. Jadi saya keluar hantar makanan dari pagi sampai lewat malam,” katanya.
Menurut graduan diploma kejuruteraan elektrik, walaupun pendapatan kasar kelihatan tinggi, hakikatnya gaji bersih selepas ditolak kos operasi amat terhad.
“Kadangkala sehari dapat RM180 hingga RM200, tapi selepas tolak kos petrol, servis motor dan makan, tinggal sikit saja, tetapi kalau tak kerja lama, lagi teruk,” katanya.
Pemuda itu berkata, risiko di jalan raya juga sentiasa menghantui, namun terpaksa ditempuh kerana kekurangan peluang pekerjaan lain dengan gaji setara.
Seorang rider muda dari Manjung, Perak, Mohammad Hafizuddin Khairul Azman, 22, mengakui pekerjaan sebagai penghantar makanan tidak sesuai untuk jangka panjang, namun masih menjadi pilihan belia untuk mendapatkan wang dengan pantas.
“Jadi rider tiada banyak faedah dan tiada jaminan masa depan cerah. Risiko di jalan raya pula tinggi, jadi memang tak sesuai untuk kerja lama,” katanya.
Ujarnya, pendapatan bulanannya kini sekitar RM2,000 hingga RM4,000, bergantung kepada tempahan dan tempoh bekerja.
Katanya, dua tahun lalu pendapatannya boleh mencecah RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, namun sekarang rider semakin ramai.
“Banyak cabaran jadi seorang rider seperti cuaca tidak menentu, pelanggan culas buat bayaran, risiko jenayah seperti ragut, kesesakan jalan raya serta tekanan mental akibat sistem penilaian dan sikap pelanggan.
“Pin lokasi salah, pelanggan tak sabar, tempahan pesanan disidai, semua itu membuatkan mental tertekan,” katanya.














