AMPANG JAYA – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian khianat dengan api sehingga mengakibatkan beberapa kenderaan musnah dalam kebakaran di Pandan Mewah, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya mengesan satu video berkaitan kejadian itu yang dimuat naik di media sosial pada pukul 9 pagi, hari ini.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian sebenar berlaku pada Selasa lalu kira-kira pukul 4.21 pagi apabila seorang lelaki dipercayai membakar beberapa kenderaan yang berada di kawasan berkenaan.
“Sehingga kini, sebanyak enam laporan polis diterima daripada pemilik kenderaan dan rumah yang terjejas akibat kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan laporan yang diterima, pihaknya berjaya menahan suspek lelaki berkenaan pada hari yang sama kira-kira pukul 9.41 malam bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian masih belum dapat dipastikan dan suspek merupakan seorang gelandangan yang menjadikan kawasan sekitar lokasi kejadian sebagai tempat tidur,” jelasnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta denda,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














