Tangkap layar video tular pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir, Sibu awal pagi tadi.

Sembilan ditahan kes remaja mati ditikam di Sibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIBU – Polis menahan sembilan individu berusia antara 16 hingga 42 tahun bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai ditikam dalam pergaduhan di sebuah taman awam di Jalan Gambir di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi sekitar Sibu antara 10 pagi hingga 4 petang tadi hasil risikan dan siasatan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu.

Beliau berkata, polis menerima laporan kira-kira 2 pagi tadi berhubung kejadian pergaduhan yang menyaksikan pengadu dipukul sekumpulan individu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Abang Zainal Abidin berkata, kejadian berkenaan turut tular di media sosial Facebook.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Terdahulu, remaja berkenaan dilaporkan maut selepas dipercayai ditikam pada bahagian dada dengan senjata tajam dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam.

Mangsa meninggal dunia selepas dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN