fbpx
Gewang selaman dalam warna natural ternyata menjadi untuk kenerak, mungkin kerana ia menyerupai ikan-ikan kecil yang ada di sekitar kubunya.

Intai kenerak di bawah Jambatan Pekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA sendiri hampir tidak percaya ikan kenerak boleh turun sampai ke kawasan hilir di Pekan ini kerana umum mengetahui ikan ini habitatnya jauh di hulu sungai-sungai yang berjeram.

Berbeza dengan ikan begahak, peluang untuk mendapatkan ikan kenerak ini bukanlah mudah dan kebanyakan masa ia tangka-
pan yang tidak disengajakan (by- catch).

Sebab itulah kaki menggewang di sini tidak menjadikan ikan kenerak sebagai ‘target’ utama mereka.

Banjir besar
Saya merasakan kewujudan ikan ini di kawasan hilir ada kena mengena dengan fenomena banjir besar yang berlaku saban tahun di Sungai Pahang ini.

Banjir besar membawa bersama limpahan makanan dan ikan-ikan pemangsa yang biasanya hidup di hulu sungai.

Menjadi satu keistimewaan bagi pengilat di sini, seolah-olah menjadi acara tahunan mengilat ikan begahak di bawah Jambatan Pekan.

Saya juga tidak akan ketinggalan untuk turun meraikannya bersama-sama. Ia merupakan satu rutin bagi saya untuk meninjau suasana kumpulan anak-anak ikan yang lalu di tepi tebing batu untuk melihat sambaran ikan pemangsa lain selain begahak.

Apabila ada sahaja sambaran, saya akan terus melontar gewang di tempat anak-anak ikan bertempiaran itu. Banyak kali juga gewang saya diragut, tetapi ia tidak lekat.

Perasaan ingin tahu ikan apakah yang selalu mencuit gewang saya tetapi sukar hendak tertancap mata kail itu semakin memuncak.

Tangkapan ikan kenerak saya yang sebenarnya berlaku secara tidak sengaja ketika gewang dilontar di kawasan yang arusnya lebih laju berbanding arus berdekatan tebing.

Memikirkan ikan berlindung di takat yang lebih dalam, saya menggunakan gewang yang dapat menyelam lebih dalam lagi, sama ada jenis berbibir panjang atau jenis berat yang tenggelam (heavy sinking minnow). Hasilnya, banyak gewang saya lebur tersangkut batu.

Namun, saya tidak mengalah dan terus mencuba. Untuk mengelakkan kerugian kehilangan gewang, saya gunakan gewang yang berharga murah.

Mata tiga gewang saya kekalkan yang original, tidak ditukar kepada yang lebih kuat kerana gewang yang tersangkut masih boleh diselamatkan, cuma mata kail yang akan terkangkang apabila dipaksa tarik.

Akhirnya ikhtiar itu berjaya juga dan saya berasa amat terperanjat apabila ikan yang naik rupanya ialah kenerak.

Anak-anak ikan
Laluan kumpulan anak-anak ikan apabila mudik ke hulu selalunya menjadi sasaran utama bagi pengilat. Akan tetapi pengilat di sini kebanyakannya akan mengabaikan kawasan yang arusnya lebih laju.

Rupa-rupanya di kawasan tersebutlah ikan kenerak ini menunggu untuk menyergap ikan-ikan kecil
yang melimpasi batu-batu tenggelam yang ia berlindung. Risikonya hanyalah gewang yang kerap tersangkut di batu.

Saya turut mencuba menggunakan bot untuk mengilat di kawasan yang sama dan ternyata ikan kenerak sememangnya gemar bermain di arus yang laju.

Namun, kehadiran ikan ini di kawasan hilir tidak lama, ia juga beransur pergi bersama hilangnya kumpulan ikan begahak sebaik surutnya banjir dan air masin sampai ke Jambatan Pekan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN