KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes khianat sehingga mengakibatkan sebuah motosikal terbakar dalam kejadian di Taman Pertama, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, mangsa memaklumkan motosikalnya diletakkan di kawasan itu pada pukul 11.15 malam kelmarin sebelum dikejutkan jirannya yang memaklumkan kenderaan itu dibakar seorang lelaki yang tinggal berhampiran pada pukul 3 pagi.
“Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras pada hari sama.
“Bertindak atas laporan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Cheras menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 50-an di tepi Jalan di Taman Cheras Utama kira-kira pukul 6.30 petang.
“Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














