PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM672,743.10 menerusi skim terbaharu, Lindung 24 Jam bagi membantu pencarum yang ditimpa musibah di luar waktu kerja.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, dalam masa 21 hari pertama pelaksanaan sejak 1 Jun lalu, Perkeso membuktikan kecekapan operasinya apabila meluluskan 136 tuntutan faedah Lindung 24 Jam.
“Ramai yang memahami Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja sahaja, namun menerusi Lindung 24 Jam, ia diperluaskan kepada insiden luar waktu kerja termasuk hari cuti.
“Langkah proaktif ini meluluskan 62.9 peratus tuntutan bertujuan memastikan Orang Berinsurans yang ditimpa musibah di luar waktu tugasan hakiki mereka tetap mendapat pembelaan sewajarnya, sekali gus menutup kelompangan yang wujud sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ramanan berkata, perlindungan komprehensif seperti ini amat penting kerana musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi, seperti yang dibuktikan menerusi beberapa kes awal yang diterima pihaknya.
Katanya, antara penerima terawal skim Lindung 24 Jam adalah melibatkan tragedi menyayat hati kemalangan maut di Simpang Renggam, Johor yang mengorbankan Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22.
Sementara itu, di Keningau, Sabah, seorang petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti, Brissty Vidalyn Felicianus, 33, turut dilindungi selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam gaung ketika pulang daripada aktiviti pendakian.
“Mangsa yang mengalami kecederaan patah bahu dan kaki kanan kini dipantau Skuad Prihatin Perkeso dan disahkan menerima gantian pendapatan Faedah Hilang Upaya Sementara sepanjang tempoh cuti sakitnya.
“Kepentingan perlindungan 24 jam ini turut dizahirkan di Perak, melibatkan seorang runner syarikat kereta terpakai, Chen Chee Ling, 51, yang patah pergelangan tangan kanan akibat tergelincir di sebuah kedai makan ketika menjamu bersama keluarga,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mengingatkan semua majikan dan pekerja di seluruh negara untuk memastikan caruman dipatuhi sebaiknya demi menjamin perlindungan yang optimum, bukan hanya ketika bekerja tetapi juga di luar waktu bekerja.
“Sama ada ketika bersukan, beriadah, bercuti mahupun menjalani aktiviti harian, kemalangan boleh mengubah kehidupan seseorang dalam sekelip mata dan caruman inilah yang akan membantu kelangsungan hidup mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














