PETALING JAYA – Hujan lebat berterusan lebih sejam petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.
Antara lokasi terjejas ialah Jalan Parlimen, Jalan Pudu, Jalan Sultan Ismail, selain berhampiran susur masuk ke Pavilion menghala Jalan Raja Chulan, kawasan Bank Negara Malaysia (BNM) menuju Masjid Jamek dan Jalan Loke Yew.
Rakaman serta perkongsian orang ramai di media sosial memaparkan air bertakung di atas jalan sehingga menyukarkan pergerakan kenderaan, manakala barisan trafik dilihat memanjang ketika orang ramai pulang dari tempat kerja.
Menerusi hantaran seorang pengguna dikenali @Morpheus di Threads pada pukul 5.22 petang, banjir kilat berhampiran susur ke Pavilion menghala Jalan Raja Chulan dilaporkan menjadi punca kesesakan di lokasi berkenaan.
Seorang pengguna Threads lain dikenali @Nrjnnah juga memaklumkan kawasan berhampiran Jalan Kia Peng sememangnya sering dinaiki air setiap kali hujan lebat dan menasihatkan pengguna jalan raya supaya membuat pusingan U melalui simpang Transit Aliran Massa Conlay bagi mengelakkan laluan tersebut.
Di ruangan komen, seorang lagi pengguna berkata laluan berhampiran BNM menghala Masjid Jamek dan Jalan Loke Yew turut mengalami kesesakan akibat air bertakung.
Turut tular ialah rakaman di kawasan Masjid Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak yang menunjukkan khemah diterbangkan angin kencang serta sebatang pokok tumbang akibat cuaca buruk.
Selain itu, keadaan di sekitar Jalan Pudu turut dilaporkan mula dinaiki air dengan beberapa kenderaan dilihat meredah jalan yang dipenuhi air.
Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai kemalangan jiwa atau pemindahan mangsa akibat kejadian tersebut.- KOSMO! ONLINE














