KUALA LUMPUR – Kadar sewa yang murah serendah RM400 sebulan menjadi ‘lesen’ kepada warga asing untuk menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan menggunakan kenderaan milik rakyat tempatan.
Kegiatan itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) di sekitar Taman Rekreasi Kampung Tasik Tambahan, Ampang hari ini.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, siasatan mendapati kadar sewa kenderaan sebanyak RM400 hingga RM500 sebulan digunakan bagi aktiviti menjual besi buruk, aiskrim, roti dan barangan lusuh.
Katanya, dalam operasi selama empat jam bermula pukul 7.30 pagi, sebanyak 43 kenderaan dipandu warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India disita atas pelbagai kesalahan.
Sepanjang operasi itu, sebanyak 83 kenderaan diperiksa dengan 199 kesalahan dan saman dikeluarkan.
“Turut dikesan 12 kenderaan milik rakyat tempatan yang disewakan kepada warga asing membabitkan empat kenderaan roda tiga dan lapan motosikal,” katanya.
Hamidi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan pemilik kenderaan yang membenarkan warga asing memandu tanpa lesen sah atau menyalahgunakan cukai jalan bagi tujuan perniagaan.
“Semua kenderaan yang terlibat akan disita dan dibawa ke mahkamah sehingga kes selesai. Bagi kesalahan cukai jalan, kadar denda yang boleh dikenakan sehingga RM2,000, manakala kesalahan insurans pula sehingga RM1,000.
“Dalam kes sebelum ini, pemilik dan pemandu Pewa didenda RM3,000 atas dua kesalahan,” katanya.
Operasi penguatkuasaan itu akan diteruskan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan membanteras penyalahgunaan kenderaan oleh warga asing untuk tujuan komersial.
“Keselamatan jalan raya bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa pengguna setiap saat. Justeru, pematuhan terhadap undang-undang perlu dipatuhi demi keselamatan semua,” katanya. – KOSMO! ONLINE














