PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 8 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis, Kedah dan Perak (Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Terengganu (Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Pahang (Raub, Bentong, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin),” katanya.
Keadaan sama turut berlaku di Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Petaling), Kuala Lumpur dan Johor (Kluang, Mersing dan Kota Tinggi).
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Sibu (Kanowit), Kapit (Song) dan Miri (Subis dan Beluru).
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang), Pantai Barat (Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Kinabatangan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














