PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung hingga pukul 4 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Perak, Kelantan (Jeli dan Kuala Krai), Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Maran, Kuantan dan Rompin),” katanya.
Keadaan sama turut berlaku di Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin), Melaka dan Johor (Segamat, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














