PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling dan Kulim) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Perak (Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang) dan Terengganu (Besut, Setiu dan Kuala Nerus),” katanya.
Keadaan sama turut berlaku di Selangor (Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jempol dan Tampin) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Pontian dan Kulai).
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Sarikei (Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song) dan Miri (Subis).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














