KOTA TINGGI – Perangkap harimau yang dipasang di Felda Penggeli Timur di sini sejak minggu lalu masih belum membuahkan hasil apabila tiada sebarang tangkapan direkodkan setakat ini.
Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Felda Penggeli Timur, Fauzi Mokhtar berkata, rondaan yang dijalankan hari ini juga tidak menemukan sebarang kesan haiwan atau pergerakan mencurigakan di sekitar kawasan ladang dan penempatan penduduk.
Katanya, susulan insiden dipercayai harimau membaham lembu penduduk minggu lalu, semakin banyak berita palsu berkaitan haiwan itu tersebar hingga menggusarkan penduduk.
“Terbaru penduduk digemparkan dengan video rakaman empat ekor harimau sedang membaham seekor binatang. Namun kejadian itu bukan berlaku di Felda Penggeli Timur.
“Hasil semakan mendapati video itu dirakam di negeri lain berdasarkan kod yang tertera pada rakaman berkenaan. Keadaan seperti ini menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk. -KOSMO! ONLINE














