KUALA PILAH – Dua buah kenderaan dipercayai milik pendaki tidak bernasib baik apabila kenderaan mereka yang diletakkan di kawasan parkir dihempap pokok tumbang berhampiran kaki Gunung Angsi, Ulu Bendul, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba d.an Penyelamat Seri Menanti, Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Mohd Sharif Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 11.38 pagi dan tiba di lokasi kira-kira pukul 11.54 pagi.
“Pokok tumbang menghempap dua buah kenderaan jenis BMW dan Honda. Pegawai operasi memotong dan mengemas serpihan pokok. Tiada mangsa terlibat. Operasi tamat kira-kira pukul 12.30 tengah hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Terdahulu, lokasi Gunung Angsi kembali menjadi tumpuan pendaki dari seluruh negara selepas Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan mengumumkan pembukaan beberapa jalur pendakian dan Taman Eko Rimba di bawah seliaan jabatan berkenaan bermula 15 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














