KUALA LUMPUR – “Sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya boleh beritahu bahawa memang kita menerima banyak permohonan-permohonan (kembali sertai parti)”.
Itu pendedahan yang dibuat oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, ketika sidang akhbar pada Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2025 (PAU 2025) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan berapakah jumlah mahupun anggaran permohonan yang telah diterima.
“Itu kita tunggulah ucapan penggulungan kerana Presiden UMNO sudah pun menyebut dalam ucapan dasarnya (semalam) berkenaan dengan Rumah Bangsa dan penubuhan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
“Saya rasa yang paling penting sekali apakah resolusi yang akan kita capai daripada PAU 2025 kali ini. Itu salah satu daripada solusi (dan) kita memang meraikan semua (bekas pemimpin dan ahli UMNO,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, bekas pemimpin dan ahli UMNO yang pernah meninggalkan parti itu berpeluang kembali menyertai perti berkenaan menerusi penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jawatankuasa berkenaan berperanan sebagai platform rasmi menerima kemasukan semula ahli secara individu mahupun secara berkumpulan. – KOSMO! ONLINE














