MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bimbang menjelang derbi Manchester menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester United di Old Trafford malam ini.
Ia berikutan tahap kecergasan penyerang utama, Erling Haaland yang tidak berada dalam keadaan terbaik, sekali gus menyebabkan City perlu mengharapkan pemain-pemain lain bagi mengetuai jentera serangan.
Guardiola berharap pemain Mesir, Omar Marmoush sempat kembali menyertai kelab menjelang pertemuan derbi itu selepas dia tersingkir daripada saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025.
“Sudah tentu saya mengharapkan supaya Omar Marmoush dapat kembali kelab dengan kadar segera bagi membolehkan Erling (Haaland) berehat. Bagi saya, dia sudah terlalu penat ketika ini.
“Kami perlu menguruskan Haaland dengan baik kerana saingan masih panjang selain ada perlawanan yang banyak. Kami tidak boleh terlalu bergantung kepada seseorang pemain sahaja,” katanya.
Meskipun sudah menjaringkan 20 gol setakat ini dalam saingan EPL, namun prestasi Haaland dilihat semakin menurun apabila masih belum melakukan jaringan daripada permainan terbuka sejak bertemu West Ham United pada 20 Disember lalu.
Oleh itu, tindakan melakukan penggiliran pemain pada bahagian serangan mampu mengembalikan ketajaman penyerang Norway berkenaan dalam usaha City terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal. – AGENSI














