MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui tekanan dalam misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semakin memuncak meskipun pasukannya tidak lagi mengawal nasib sendiri.
The Citizens ketika ini terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal selepas menewaskan Brentford 3-0 di Stadium Etihad awal pagi semalam hasil jaringan Jeremy Doku, Erling Haaland dan Omar Marmoush.
Guardiola mengakui kini perlu berharap Arsenal tercicir mata sekiranya mahu mencerahkan peluang merampas gelaran EPL pada musim ini.
“Secara realiti, kejuaraan bukan lagi berada di tangan kami kerana kami sekarang perlu mengharapkan Arsenal kehilangan mata.
“Satu-satunya perkara kami boleh lakukan ialah terus menang dan lihat apa yang berlaku pada penghujung musim nanti. Sekurang-kurangnya kami akan menamatkan saingan di tempat kedua musim ini,” katanya.
Dalam masa sama, Guardiola turut memuji impak Doku yang dianggap memainkan peranan penting bagi memastikan The Citizens terus bersaing dalam perebutan kejuaraan.
“Doku mempamerkan aksi yang luar biasa. Dia memiliki kemampuan menggelecek dan sekarang dia juga membantu pasukan memenangi perlawanan dengan menjaringkan gol yang menarik,” ujarnya. – AGENSI














