MANCHESTER – Legenda Manchester United, Roy Keane memberikan lampu hijau terhadap bekas kelabnya jika mahu mendapatkan bintang Nottingham Forest, Elliot Anderson pada jendela perpindahan musim panas yang akan dibuka bulan depan.
Pemain tengah berusia 24 tahun itu kini menjadi antara sasaran utama United dan Manchester City selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama Forest sejak menyertai kelab itu daripada Newcastle United pada 2024.
Bagaimanapun, Keane yang juga bekas kapten The Red Devils mengakui tanda harga yang diletakkan oleh Forest sekitar £100 juta (RM532 juta) terhadap pemain antarabangsa England masih itu terlalu mahal.
“Saya faham kenapa Anderson bakal menjadi rebutan kelab besar pada jendela perpindahan nanti. Ramai kata semua perlu mengeluarkan dana yang besar untuk dapatkan khidmatnya.
“Kalau sekitar £70 juta (RM372 juta) saya faham dan anggap berbaloi, kalau sudah cecah £100 juta, ia jumlah yang besar dan tidak masuk akal,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain City, Gareth Barry menasihatkan Anderson supaya membuat keputusan yang tepat demi perkembangan kariernya.
“Kalau saya berada di tempat Anderson, saya akan lihat soal minit permainan. Jika berhijrah ke City ketika Rodri masih di sana, peluang untuk bermain secara konsisten nampak sukar sedangkan dia masih muda dan perlu beraksi dengan konsisten,” katanya. – AGENSI














