KUALA LUMPUR – Kelemahan salah laku membabitkan pelaksanaan projek kerajaan oleh kementerian tertentu hanya melibatkan segelintir pegawai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbuatan pegawai terbabit tidak sepatutnya menyebabkan seluruh kementerian dipandang serong oleh masyarakat.
Justeru, katanya, tindakan perlu diambil kepada pegawai-pegawai terlibat dan bukan menghukum keseluruhan kementerian atau sesebuah pasukan keselamatan.
“Walaupun berbanding tahun-tahun sebelumnya, prestasi itu baik, saya harus akui. Seperti mana isu rasuah, ia membabitkan segelintir kecil.
“Saya mahu rakan di pasukan keselamatan, tentera dan polis berasakan mereka keseluruhannya sangat berwibawa, sangat cekap, banyak pengorbanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Usamah Bin Zaid di Wangsa Maju di sini hari ini.
Anwar berkata, gesaan supaya prestasi kementerian diperbaiki juga tidak menunjukkan keseluruhan kementerian, sebaliknya ada beberapa tindakan yang harus disegerakan terutama projek kecil.
“Bukan tertumpu kepada projek-projek besar, tetapi hanya projek-projek yang secara langsung memberi keringanan kepada rakyat,” katanya.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mendedahkan seramai 14 ketua setiausaha (KSU) akan dipanggil pihaknya bati memberi penjelasan.
Ia berhubung kegagalan kementerian masing-masing mencapai sasaran pelaksanaan pembangunan projek fizikal tahun lalu.
Beliau dipetik berkata, pencapaian perbelanjaan pembangunan asas (DE Asas) negara tahun lalu hanya mencapai purata nasional 87.91 peratus. – KOSMO! ONLINE














