KOTA TINGGI – Polis berjaya menahan pemandu lori tipper yang membawa kenderaan secara berbahaya di Kilometer 7.0 Jalan Perani – Lok Heng di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Tinggi terkesan satu paparan video yang tular di page Facebook Orang Kota Tinggi yang memaparkan sebuah lori memandu secara berbahaya petang semalam.
Menurutnya, video tular itu memaparkan pemandu lori telah memasuki laluan bertentangan sehingga menyebabkan kenderaan dari arah bertentangan terpaksa mengelak.
“Susulan video tular itu, pemandu lori berjaya dikesan dan lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu dikenakan tindakan saman di bawah Kaedah 3(1) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.
“Kenderaan lori jenis sinotruck juga disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ujian saringan air kencing turut dilakukan dan keputusan adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan tindakan seorang pemandu lori tipper didakwa memandu dalam keadaan membahayakan nyaris mengundang tragedi apabila kenderaan berat itu beberapa kali dilihat memasuki laluan bertentangan di Jalan Perani, di sini.-KOSMO! ONLINE














