KUALA LUMPUR – Pelakon Chacha Maembong menegaskan hubungannya dengan aktor Andy Teh hanyalah sekadar kenalan dalam industri seni buat masa ini.
Chacha atau nama penuhnya Siti Aishah Ismail, 30, dia enggan terlalu memikirkan soal cinta dan menyerahkan segala-galanya kepada takdir selain mahu memberi fokus mahu mengembangkan kerjaya seni pada tahun ini.
“Kami berkawan dan tak pernah jalani penggambaran bersama pun sebelum ini. Kami bertemu di sebuah acara, berkenalan dan serasi kemudian selesa berkawan.
“Mengenai Andy beritahu bahawa saya ada ciri-ciri wanita yang dia suka, saya memang ‘no comment’ dan tidak berani nak cakap lebih kalau itu apa yang dia rasa,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan gala filem Akad Yang Hilang di sini, semalam,
Ditanya sama ada Andy memiliki ciri-ciri lelaki idamannya, adik kepada aktres, Emma Maembong itu memberitahu Andy sememangnya lelaki yang baik.
“Seperti saya cakap sebelum ini, dia adalah seorang lelaki dan kawan yang baik. Faham cara kami bekerja dan sangat rajin.
“Kalau nak cakap soal itu (jodoh), saya tak berani nak komen apa-apa sebab semua itu saya serah kepada Allah SWT.
“Saya tak berani nak cakap sebab semuanya belum berlaku (ke fasa lebih serius). Buat masa sekarang fokus utama ialah kerja, kawan dengan semua orang dan mahu capai banyak impian sendiri. Jadi kalau soal itu (kahwin), belum terfikir lagi,” ujarnya.
Berkongsi mengenai sasaran dalam kerjaya seni tahun ini, dia berharap dapat melakonkan lebih banyak watak yang mampu memberi impak besar terhadap penonton.
“Azam 2026, saya mahu menjadi versi yang lebih baik daripada sebelum ini.
“Saya juga harap setiap watak yang dibawakan selepas ini dapat memberi impak positif kepada penonton,” katanya lagi.
Terdahulu, Andy Teh, 40, mengakui mereka berkawan baik sekali gus masih dalam fasa mengenali hati budi dan tidak menolak andai ditakdirkan berjodoh suatu hari nanti.
Dia menjawab khabar angin tersebut selepas tular dakwaan dia kini rapat dengan seorang pelakon wanita. – KOSMO! ONLINE














