fbpx
WIRA TFC, Engku Nur Syakir (tengah) meraikan jaringan bersama rakan pasukan ketika tewaskan DPMM 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Liga Super: TFC menang tipis ke atas DPMM FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Jaringan tunggal Engku Nur Shakir Engku Yacob sudah cukup memastikan kemenangan 1-0 Terengganu FC (TFC) ke atas DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Perlawanan kali ini juga menyaksikan dua bintang import baharu tuan rumah, Ehsoni Panshanbe dan Shervoni Mabatshoev memperoleh debut di Liga Super namun dilihat gagal mencipta peluang berbahaya.

Di babak pertama, penjaga gol TFC, Rahadiazli Rahalim tampil cemerlang untuk menafikan dua percubaan pelawat menerusi dua importnya, Miguel Oliveira dan Jordan Murray.

Memasuki minit ke-42, jaringan yang dinanti-nantikan penyokong tuan rumah akhirnya terhasil menerusi rembatan jarak jauh Engku Syakir yang berjaya menewaskan penjaga gol lawan, Muhammad Haimie Abdullah.

Bersambung babak kedua, pengendali sementara TFC, Tengku Hazman Raja Hassan memasukkan seorang lagi pemain baharu, Haqimi Azim Rosli dan ia nyata menghadirkan impak kepada permainan.

Walaupun dilihat makin agresif mengatur serangan, TFC sering dikecewakan oleh kegagalan pemain untuk melakukan penyudah dengan lebih berkesan.

Kemenangan kali kedua berturut-turut kali ini membolehkan skuad Sang Penyu mengutip 24 mata untuk berada di tangga kelima liga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI