TANGIER – Bintang Mesir, Mohamed Salah meluahkan keinginannya untuk membawa pasukan mara lebih jauh di pentas Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika ini.
Mesir akan melayan Senegal di Stadium Tangier Grand awal pagi esok dan pertemuan separuh akhir itu bakal menjadi pentas perhitungan peribadi antara dua ikon Liverpool, Salah dengan Sadio Mane yang kini menyarung jersi Al-Nassr di Arab Saudi.
“Kami akan menghadapi lawan seterusnya dan mereka (Senegal) adalah pasukan berkualiti. Jadi kami tiada cara lain kecuali perlu memastikan seluruh pasukan berada dalam keadaan terbaik bagi menyerlahkan permainan berkualiti.
“Satu perkara yang saya boleh katakan, kami sudah bekerja keras dan kamu semua boleh lihat apa yang telah dilakukan sepanjang kejohanan ini. Saya juga gembira melihat apa yang sudah dilakukan oleh rakan-rakan.
“Jadi sekarang kami hanya perlu teruskan apa yang sudah kami buat. Kami kena tampil dengan aksi terbaik dan selepas itu kita semua akan lihat apa hasilnya,” katanya.
Walaupun kehadirannya dalam skuad kebangsaan Mesir turut diselubungi kontroversi ekoran kenyataan pedas terhadap pengendali Liverpool, Arne Slot, namun Salah membuktikan dirinya langsung tidak terkesan dan kini sudah merekodkan empat gol sepanjang AFCON.
Salah menjelaskan Mesir pastinya akan menetapkan satu standard lebih tinggi kerana melabel empat pasukan terakhir kali ini memiliki kualiti tersendiri sekali gus boleh menjejaskan peluang pasukannya memburu kejuaraaan sulung sejak 2010. – AGENSI














