DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, dunia e-sukan telah berkembang pesat daripada sekadar hiburan digital kepada sebuah industri kompetitif bertaraf global yang menyatukan pemain, penonton dan jenama di seluruh dunia.
Dengan gabungan teknologi canggih, strategi berintensiti tinggi dan sokongan komuniti yang semakin kukuh, e-sukan kini menjadi pentas baharu untuk bakat muda membuktikan keupayaan mereka di peringkat profesional.
Fenomena inilah yang terus mengangkat kejohanan seperti Odyssey Cup Counter-Strike 2 Championship sebagai simbol kematangan e-sukan serantau, sekali gus mencerminkan betapa besar pengaruh dan masa depan industri ini.
Odyssey Cup Counter-Strike 2 Championship sekali lagi membuktikan kedudukan sebagai antara kejohanan e-sukan paling mendebarkan di rantau ini apabila pentas Grand Finals menyaksikan pertembungan terbaik dari Asia Tenggara dan Oceania.
Odyssey Cup merupakan kejohanan e-sukan tahunan anjuran Samsung yang berfungsi sebagai platform pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem kompetitif di peringkat Asia Tenggara dan Oceania.
Diperkenalkan sebagai kejohanan serantau berprestij, Odyssey Cup menghimpunkan pasukan terbaik dari pelbagai negara untuk bersaing dalam suasana profesional sekali gus membuka laluan kepada pemain komuniti untuk melangkah ke pentas yang lebih tinggi.
Seiring pertumbuhan industri e-sukan, kejohanan ini terus berkembang dari segi penyertaan, skala penganjuran dan sokongan teknologi, menjadikannya antara acara utama dalam kalendar e-sukan serantau.
Sepanjang pusingan kelayakan, kejohanan kali ini telah menarik perhatian penonton dari seluruh rantau, menampilkan aksi Counter-Strike 2 yang sengit, jalan cerita penuh dramatik serta komuniti peminat yang semakin berkembang.
Kemuncak kejohanan berlangsung di EBN Esports City, Quill City Mall, Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 Disember lalu.
Lapan pasukan terbaik yang layak ke Grand Finals diterbangkan ke Kuala Lumpur dalam perjalanan ditaja sepenuhnya, selaras dengan aspirasi Samsung selaku penganjur untuk merapatkan jurang antara minat komuniti dan peluang di peringkat profesional.
Mereka bersaing merebut kejuaraan serantau serta bahagian daripada jumlah hadiah keseluruhan AS$50,000 (RM204,500).
Lapan pasukan yang berjaya mara ke peringkat akhir adalah GROUNDZERO (Oceania), SemperFi Esports (Oceania), Deep Cross Gaming (Indonesia), Beyman ESports (Malaysia), Team Nemesis Asia (Singapura), WOLFGANG (Filipina), Made in Thailand (Thailand) dan Galacticos (Vietnam).

SemperFi Esports muncul sebagai juara Odyssey Cup Counter-Strike 2 Championship, menewaskan saingan lain dan mengukuhkan dominasi mereka di peringkat serantau.
Mereka membawa pulang hadiah berjumlah AS$20,000 (RM81,800).
Wakil Malaysia, Beyman ESports pula menutup kempen dengan pencapaian membanggakan apabila meraih tempat ketiga, sekali gus mengharumkan nama negara di hadapan penyokong tempatan dan membawa pulang hadiah berjumlah AS$8,000 (RM32,500).
Musim 2025 mencatatkan pencapaian baharu buat Odyssey Cup dengan 69 pasukan berdaftar, peningkatan 24 peratus berbanding musim lalu bagi kejohanan esport utama Samsung ini.
Merentasi lapan negara iaitu Australia, Indonesia, Malaysia, New Zealand, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam pusingan kelayakan dipenuhi persaingan sengit, kemunculan bakat baharu dan perlawanan penentuan yang mendebarkan hingga saat akhir.
Setiap perlawanan dipertontonkan menggunakan Samsung Odyssey OLED G60SF yang menampilkan kadar segar semula sepantas kilat, masa tindak balas 0.03ms serta paparan QD-OLED yang terang dan tajam.
Prestasi itu mencerminkan komitmen Samsung dalam menyampaikan pengalaman permainan yang terbaik di mana ketepatan, kelajuan dan prestasi menjadi nadi setiap aksi di pentas pertandingan.
Ketua Penyelesaian Paparan Serantau, Samsung Asia Tenggara dan Oceania, Leslie Goh berkata, Odyssey Cup terus menetapkan penanda aras baharu dalam penglibatan komuniti dan kecemerlangan kompetitif.
“Sambutan luar biasa untuk 2025 membuktikan minat terhadap e-sukan yang semakin berkembang di rantau ini.
“Ia sekali gus menjadikan pertemuan lapan pasukan terbaik di Kuala Lumpur sebagai satu kemuncak yang melambangkan semangat inovasi dan keterhubungan Samsung,” katanya.
Bagi tahun kedua berturut-turut, TCP Red Bull Malaysia kembali sebagai rakan utama kejohanan, menyemarakkan semangat pemain dan peminat melalui pelbagai pilihan minuman tenaga serta menyuntik tenaga baharu ke dalam suasana persaingan.
Kejohanan memuncak dengan siaran langsung Odyssey Cup 2025 Grand Finals menerusi saluran YouTube Samsung, membolehkan peminat dari seluruh rantau menyaksikan aksi secara masa nyata. Daripada strategi terperinci hingga pertembungan penuh letupan, pentas akhir menjadi ujian muktamad ketahanan dan kemahiran.
















