KOTA TINGGI – Warga Felda Penggeli Timur, di sini gempar apabila menjumpai bangkai lembu dipercayai dibaham harimau kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan penduduk, awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Sukarelawan Malaysia Felda Penggeli Timur, Fauzi Mokhtar berkata, maklumat awal kejadian diperoleh daripada mandur ladang yang sedang memantau pekerja.
Katanya, lembu milik peneroka itu ditemukan dengan sebahagian badan sahaja disyaki akibat serangan haiwan liar ekoran terdapat kesan tapak kaki harimau di lokasi kejadian.
“Saiz tapak kaki itu agak besar seperti harimau dewasa. Kejadian ini adalah yang pertama di kawasan ini. Sebelum ini cuma dengar cerita kelibat harimau di kawasan kampung Orang Asli, itu pun hanya kelibat, bukannya serangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan kejadian itu, laporan dibuat kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) oleh pengurusan ladang untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, tular gambar bangkai lembu, kesan tapak kaki disyaki harimau dan rakaman suara yang menasihatkan penduduk supaya berwaspada ekoran kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE














