GUA MUSANG – Sepasang suami isteri dari Kampung Batu 2, di sini bimbang akan masa depan empat anak mereka yang tidak dapat bersekolah kerana memiliki sijil kelahiran bukan warganegara.
Mohamad Firdaus Abdullah, 36, berkata, dia buntu memikirkan usaha yang perlu dilakukan bagi memastikan Allzera Julaini Intan, 7, Nur Alia, 8, Nur Ailla Laila, 9, dan Muhammad Aidil Idhan, 12, memperoleh sijil kelahiran warganegara untuk memudahkan urusan persekolahan.
Katanya, anaknya hanya dapat bersekolah setakat tadika kerana dia merupakan pemegang kad pengenalan sementara, manakala isterinya bukan warganegara.
“Saya dilahirkan di Gua Musang. Disebabkan masalah keluarga, saya gagal mohon MyKad. Keadaan ini menyebabkan empat anak tidak dapat ke sekolah seperti kanak-kanak lain. Saya rasa sedih bila anak minta masuk sekolah rendah, tetapi tidak dapat ditunaikan,” katanya.
Menurut lelaki itu, anak bongsunya, Allzera sepatutnya memulakan persekolahan darjah satu tahun ini. Anak sulungnya juga tidak dapat bersekolah kerana status kewarganegaraan.
“Besar impian saya untuk melihat anak-anak bersekolah. Setiap kali lihat rakan-rakan mereka pakai baju sekolah anak-anak akan menangis dan merayu minta pergi sekolah,” katanya.
Ujarnya, pelbagai usaha dilakukan bagi membolehkan empat anaknya menyambung pelajaran, namun gagal. Oleh itu dia berharap ada pihak dapat menyelesaikan isu itu sekali gus memberi peluang empat kanak-kanak tersebut ke sekolah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, lelaki itu pernah hadir ke Pusat Khidmat ADUN Galas untuk mendapatkan surat sokongan bagi membolehkan anak-anaknya mendaftar ke sekolah, namun permohonan tersebut gagal.
Katanya, beliau akan berusaha sedaya upaya bagi membolehkan anak-anak Mohamad Firdaus dapat bersekolah seperti kanak-kanak lain.
“Isunya adalah dia dan isteri bukan warganegara termasuk anak-anak mereka, namun kita akan mencari jalan.
“Saya sudah bertanyakan mengenai prosedur mendaftar. Nampaknya ada jalan, saya harap pihak berwajib dapat membantu memudahkan urusan memohon dan mendaftar mereka ke sekolah,” katanya.














