TAHUN 2025 boleh dianggap sebagai tahun yang penuh kontras buat landskap sukan Malaysia dengan isu pemalsuan dokumen pemain warisan menjadi letusan besar hingga mengikis perhatian terhadap pencapaian lain.
Suka atau tidak, hukuman dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mencalar kredibiliti pengurusan, menjejaskan kepercayaan awam terhadap pasukan kebangsaan dan pihak berkaitan lain di negara ini.
Ketika 2025 seakan mahu ditutup dengan longgokan cerita negatif dan penuh bergelora, kecemerlangan skuad futsal negara layak ke Piala Asia 2026, menang pingat gangsa Sukan SEA dan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Asia Tenggara memulihkan keyakinan peminat.
Kejayaan futsal bukan semata-mata diukur melalui keputusan atau pingat, tetapi melalui cara kejayaan itu dibina dengan kemahuan pemain untuk harumkan nama negara menjadi tunjang utama walaupun publisiti tidak meluas seperti bola sepak.
Walaupun jarang mendapat perhatian ramai, kejayaan futsal mirip sepak takraw yang menang pingat emas Sukan SEA di mana ia lahir daripada bakat tempatan tulen dan segalanya bermula dengan wujudnya liga kompetitif.
Daripada perspektif psikologi peminat, kejayaan futsal berperanan sebagai ‘penawar luka’, sekurang-kurangnya mengimbangi naratif isu pemalsuan dokumen.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya menjelaskan setiap kejayaan yang diraih tidak datang secara kebetulan dan ia berpaksikan kepada perancangan serta kerja keras semua pihak.
“Tahun 2025 ini kita anggap tahun paling gemilang futsal di Malaysia kerana berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam kejohanan yang kita sertai. Di peringkat senior, kita melayakkan diri ke Piala Asia Futsal 2026 dan menang pingat gangsa di Sukan SEA.
“Skuad muda pula turut mencuri perhatian dengan meraih tempat ketiga Kejuaraan B-19 Asia Tenggara dan ini menunjukkan kita mempunyai pelapis yang baik. Kejayaan ini adalah hasil sokongan semua pihak khususnya FAM yang banyak merangka program untuk skuad futsal selain pembangunan akar umbi,” katanya.
Secara tersirat, futsal menghantar mesej yang tidak boleh diabaikan iaitu kejayaan tidak hanya berkisar kepada omongan retorik sebaliknya ia perlu diuruskan dengan lebih teratur mengikut kehendak. Ia membuktikan bahawa masalah utama bukannya berpaksikan kepada Malaysia kekurangan bakat tetapi kegagalan mengatur laluan, peluang dan kurangnya bantuan terhadap pemain untuk jadi lebih baik.
Tidak hairanlah bekas pengendali futsal kebangsaan, Rakhpol Seinetngam menyatakan untuk melihat futsal diberikan layanan sama rata seperti dikecapi bola sepak atau pun sukan lain.
Tiba masanya untuk futsal dibawa keluar daripada stigma sukan bayangan kepada bola sepak dan hanya diikuti oleh komunitinya sendiri kerana dengan kejayaan diraih, semua persepsi itu dianggap lapuk.
Usah cemburu dengan kualiti yang ada pada Thailand dan Indonesia, kedua-dua negara ini ada sudut khusus buat futsal, malah wujudnya liga yang cukup kompetitif. Setiap kejayaan tidak hadir secara kebetulan dan layak digelar ‘sukan sepi’ sebaliknya satu cabang yang wajar diberi perhatian serius dari sudut perancangan dan pelaburan.















