GOMBAK – Seorang penumpang bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan dengan lori tiga tan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sungai Buloh, hari ini.
Difahamkan, lelaki berusia 36 tahun menaiki bas tersebut bersama isteri dan empat anaknya dari Kedah menuju ke Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 7.45 pagi melibatkan kemalangan bas ekspres, sebuah lori bonded dan motosikal.
“Siasatan awal mendapati pemandu bas yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sehingga mengakibatkan kenderaan itu melintang di tengah jalan.
“Lori bonded dan motosikal gagal mengelak lalu melanggar bas tersebut. Pemandu lori, penunggang motosikal dan tujuh penumpang bas yang parah menerima rawatan di hospital sama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu bas tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126 2222.
Terdahulu, seramai lapan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada pukul 5.24 pagi. Nahas membabitkan bas ekspres yang membawa 42 penumpang termasuk dua pemandu bas dan dan lori tiga tan.
Terdapat lima mangsa termasuk pemandu lori tersepit. Pihak bomba mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa terakhir berikutan struktur pembahagi jalan menghimpit kaki mangsa.
Mangsa pertama iaitu wanita dikeluarkan pada pukul 6.06 pagi, diikuti mangsa lelaki yang diselamatkan kira-kira dua minit kemudian. Mangsa terakhir pula dikeluarkan pada pukul 8.53 pagi. – KOSMO! ONLINE














