KLANG – Tindakan 10 individu termasuk tiga wanita dan pelajar sekolah merempit di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) di sini, memakan diri apabila mereka ditahan pihak berkuasa awal pagi tadi.
Kesemua mereka yang berusia 17 hingga 26 tahun itu diberkas dalam Ops Khas Bersepadu Samseng Jalanan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor bermula pukul 12.30 tengah malam.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd. Zaini Abu Hassan berkata, operasi lebih tiga jam itu memfokuskan kawasan antara lampu isyarat Denai Alam ke jejantas Persiaran Elmina bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
Katanya, polis kemudian mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya seperti ‘zig-zag’ dan ‘superman’ selain bersaing sesama sendiri dan melawan arus. – KOSMO! ONLINE














