DALAM dunia yang semakin moden, golongan wanita juga memainkan peranan penting untuk masyarakat serta negara.
Malah, kini ramai wanita juga berjaya dalam bidang yang mereka ceburi dan memberikan inspirasi kepada kaum Hawa yang lain.
Wanita-wanita yang berjaya dan memberi inspirasi kepada mereka yang lain di luar sana sewajarnya dihargai.
Oleh itu, Kumpulan Affin melalui cabang perbankan premiumnya, Affin Invikta, bekerjasama dengan TOP50 Media Synergy Sdn. Bhd. baru-baru ini menganjurkan Anugerah Affin Invikta Top 50 Women of Excellence 2025 bagi mengiktiraf wanita-wanita paling berinspirasi di Malaysia.
Acara tersebut dilangsungkan di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy, Kishvin Sirinavin berkata, setiap penerima anugerah telah dinilai secara adil oleh panel juri berwibawa.
“Panel juri telah menilai pencalonan yang dihantar berdasarkan lima kriteria utama iaitu kepemimpinan dan pengaruh, pencapaian dan kecemerlangan, sumbangan kepada masyarakat, ketabahan, etika dan perwatakan serta impak masa depan, pengaruh dan legasi.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha untuk yang mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara,” katanya ketika berucap.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, sempena ulang tahun ke-50 AFFIN, mereka berbesar hati untuk mengiktiraf 50 wanita yang luar biasa, menakjubkan dan benar-benar menginspirasikan.
Menurutnya, kini memasuki tahun kedua, inisiatif ini telah berkembang menjadi sebuah platform nasional yang meraikan wanita-wanita yang memacu Malaysia ke hadapan.
“Wanita-wanita ini melambangkan daya tahan, kecemerlangan dan tujuan hidup.
“Proses pemilihan pada tahun ini amat menginspirasikan dan mencabar dan daripada sejumlah besar pencalonan, kami telah menyenarai pendek 300 calon wanita yang luar biasa,” katanya.
Tambahnya, melalui pertimbangan yang teliti, mereka memilih 50 wanita terbaik untuk diiktiraf pada majlis tersebut.
Top 50 Women of Excellence 2025 mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.
Antaranya ialah pelakon dan pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh, Raja Teh Maimunah (Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AEON Bank), Tengku Zarina Tengku Chik (CEO Securities Industry Development Corporation), Dr. Amalina Bakri (Clinical Research Fellow, Institute of Global Health Innovation), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood (tokoh kemanusiaan dan akademia) dan Datin Seri Sunita Rajakumar (Chairperson, Climate Governance Malaysia), Nenney Shuhaidah Shamsuddin (Hakim Mahkamah Tinggi Syariah wanita pertama negara),Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid (Ikon seni legenda tanah air) dan ramai lagi.
Dalam acara tersebut, Siti Nurhaliza juga diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Kejayaan Siti itu disifatkan sebagai figura hebat berwibawa yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan profesional sebagai anak seni dan usahawan tetapi turut memberi inspirasi kepada generasi masa depan.
Bagi kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini iaitu ‘Rising Star Award’ pula dimenangi oleh beregu badminton wanita nombor satu negara, Pearly Tan dan M Thinaah.
Sementara itu, Nenney Shuhaidah berkata, beliau sangat berbesar hati menerima anugerah tersebut.
Menurutnya, sebagai seorang yang berkecimpung dalam bidang mahkamah syariah beliau menganggap pengiktirafan tersebut sangat bermakna.
“Saya sangat bersyukur kepada Allah SWT dan pengiktirafan ini menunjukkan bahawa bidang syariah ini dihargai.
“Selain itu, anugerah seperti ini amat baik untuk mengangkat wanita di Malaysia, tidak kira bidang apa sekalipun,” katanya.
Tambahnya, semua bidang penting dan wanita kini memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembangunan negara.
Siti Nurhaliza pula menzahirkan rasa syukur menerima anugerah tersebut dan berharap menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana.
“Wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur dan jaga anak, tetapi kini kita boleh lihat wanita berada di barisan hadapan kepimpinan.
“Apabila penganjur menghargai wanita-wanita hebat dalam Malaysia, ini membuatkan wanita mampu untuk berdiri sama tinggi, mampu membantu menjana ekonomi dan berbakti kepada negara,” katanya.
















