GEORGE TOWN – Kain kafan mahal dan mewah bukan bekalan yang dituntut dalam agama, malah tidak menjamin ‘kesenangan’ di alam barzakh.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, kain kafan yang sederhana, bersih dan menepati kehendak syarak sudah memadai untuk memuliakan jenazah.
Katanya, perkara lebih utama ialah memastikan hidup individu itu dipenuhi dengan iman, amal soleh serta kebaikan kepada sesama manusia.
“Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam kain kafan, kerana sesungguhnya ia akan segera rosak (Riwayat Abu Dawud).
“Hadis ini jelas menunjukkan bahawa kemewahan dalam kain kafan tidak membawa manfaat yang kekal kepada si mati kerana kain kafan akan segera rosak apabila dikebumikan, bahkan ia bercanggah dengan prinsip kesederhanaan yang ditekankan oleh Islam,” katanya semalam.
Menurutnya, umat Islam seharusnya mendidik jiwa agar tidak menjadikan kemewahan dalam pengurusan jenazah sebagai simbol status atau kebanggaan keluarga.
Katanya, kematian sepatutnya menjadi medan muhasabah dan peringatan tentang dunia yang bersifat sementara dan bukan ruang untuk berlumba-lumba menzahirkan kelebihan material.
“Isu guna kain kafan mewah yang diperkatakan masyarakat kebelakangan ini wajar ditanggapi dengan kefahaman syariah yang tepat agar umat Islam tidak tersasar dalam membezakan antara tuntutan agama dan kecenderungan budaya semata-mata.
“Dalam Islam, pengurusan jenazah merupakan ibadah fardu kifayah yang bertujuan memuliakan insan yang telah kembali kepada Allah SWT.
“Namun, kemuliaan tersebut tidak diukur melalui kemewahan atau harga bahan yang digunakan, sebaliknya melalui pematuhan kepada prinsip syariah dan adab yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW,” katanya.
Menurutnya, perbelanjaan yang melampau untuk kain kafan terutama jika membebankan waris atau mengalihkan keutamaan daripada perkara yang lebih bermanfaat tidak menepati roh syariah dan maqasidnya.
“Justeru, masyarakat perlu memahami bahawa kemuliaan di sisi Allah tidak diselubungi oleh kain kafan yang mahal, tetapi oleh ketakwaan yang hidup dalam jiwa semasa hayat masih ada,” katanya.
Terdahulu, tindakan usahawan terkenal, Haliza Maysuri menempah kain kafan khas rekaan pereka fesyen tersohor, Rizalman Ibrahim mendapat perhatian orang ramai apabila disifatkan sebagai persediaan luar kebiasaan menghadapi kematian.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Haliza menerusi satu hantaran di media sosial apabila dia memuat naik video pertemuannya bersama Rizalman selain memaparkan sesi unboxing kit kafan berkenaan.
Difahamkan, set kit kafan tersebut ditempah khas dan dianggarkan berharga sekitar RM999 bagi setiap set, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.















