KUALA LUMPUR – Syarikat pengurusan acara, Creative Creed Associates (Creative Creed) merancang untuk menjalin kerjasama strategik bersama syarikat terkemuka di Indonesia, iaitu GM Production.
Kerjasama bersama syarikat yang menjalankan perniagaan serupa di Indonesia itu merupakan sebahagian daripada langkah pengembangan Creative Creed ke peringkat antarabangsa terutama di rantau ini pada 2026.
Rancangan kerjasama berkenaan dizahirkan menerusi sesi perbincangan awal yang diadakan di Pejabat GM Production di sini pada hujung tahun lalu, melibatkan pertemuan dua hala bagi meneroka potensi kolaborasi strategik dalam industri pengurusan acara dan kreatif.
Pengarah Urusan Creative Creed, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, pihaknya berbangga atas kesediaan GM Production untuk meneroka kerjasama bagi mengembangkan lagi perniagaan serta memperluaskan pasaran masing-masing.
Katanya, kerjasama strategik itu akan turut memberi manfaat kepada kualiti perkhidmatan apabila kedua-dua syarikat akan berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing.
“Dalam industri acara yang semakin mencabar dan kompetitif, keupayaan untuk berkongsi kepakaran, idea kreatif serta pendekatan pengurusan yang berkesan adalah amat penting.
“Kerjasama ini diharap dapat menggabungkan kekuatan Creative Creed dan GM Production bagi menghasilkan pengalaman acara yang lebih inovatif, berkualiti dan bernilai tinggi kepada klien kami,” katanya.
Terdahulu, kehadiran Syaiful Bakhtiar dan delegasi Creative Creed seramai 13 orang telah disambut meriah oleh pengurusan tertinggi dan anggota pekerja GM Production sempena lawatan mereka ke ibu pejabat syarikat berkenaan di Yogyakarta.
Turut bersama sebagai delegasi ialah Pengarah Creative Creed, Muhammad Hudhayfah Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Nebula Ventures, Mohd. Ainuddin Aliff Salehuden yang merupakan syarikat dalam kumpulan Creative Creed.
Pengurusan GM Production pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bapak Sutikno serta Pengarah Jualan dan Pemasaran, Yuliana Kartikasari.
Mengulas lanjut, Syaiful Bakhtiar berkata, peluang untuk menguruskan acara di lokasi antarabangsa termasuk di Osaka, Jepun tahun lalu telah membuka mata syarikat untuk ke peringkat antarabangsa.
“Pada 2026, kami menyasarkan untuk meneroka pasaran antarabangsa dalam perniagaan pengurusan acara.
“Selepas beroperasi lebih daripada 10 tahun di pasaran tempatan, saya yakin dan percaya, kami mampu untuk mengembangkan lagi pasaran kami dengan sasaran baharu ini, insha-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Bapak Sutikno berkata, pihaknya menyambut baik hasrat Creative Creed dan menyifatkan pertemuan mereka sebagai langkah positif ke arah pembentukan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat bersama.
“GM Production melihat potensi besar untuk kedua-dua syarikat ini bekerjasama khususnya dalam memperluaskan jaringan serantau dan berkongsi kepakaran dalam penganjuran acara profesional yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya yang mengasas syarikat berkenaan 25 tahun lalu. – KOSMO! ONLINE














