CASABLANCA – Pasukan Senegal menepati ramalan apabila lolos ke pusingan suku akhir selepas menang 3-1 ke atas Sudan dalam aksi 16 terbaik saingan iala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Senegal terpaksa bermandi peluh untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 hasil jaringan berganda Pape Gueye dan satu lagi gol skuad kendalian Pape Thiaw itu disumbangkan oleh Ibrahim Mbaye.
Gueye yang merupakan bintang kelab Villarreal mengakui cukup puas dapat jadi wira skuad Lions of Teranga itu melangkah ke pusingan seterusnya.
“Kami telah pamerkan ketika menentang Congo pada peringkat kumpulan bahawa kami mampu bangkit apabila ketinggalan dan itulah yang kami lakukan malam ini.
“Saya sangat gembira apabila dapat membantu pasukan dan keputusan ini menunjukkan betapa kuatnya semangat dalam pasukan. Pujian wajar diberikan kepada Sudan kerana mereka pasukan yang berkualiti, tetapi kami kekal fokus untuk mengesahkan kemenangan,” kata Gueye.
Dalam satu lagi aksi pusingan 16 terbaik, Mali turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir AFCON selepas menewaskan Tunisia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti, walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan.
Pada aksi tersebut, pertahanan Mali, Woyo Coulibaly dilayangkan kad merah pada awal saingan tetapi pasukan bangkit untuk menang selepas El Bilal Toure, Gaoussou Diakite dan Lassine Sinayoko berjaya menyudahkan sepakan penalti yang diberikan. – AGENSI














