fbpx
pemilikan rumah bukan hanya perihal kemampuan membeli, tetapi soal masa, kestabilan dan keutamaan hidup. - Gambar Janaan AI

Idam beli rumah tetapi gaji alahai….

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAHUN baharu sering hadir bersama senarai azam penuh harapan. Turun berat badan, tukar kerjaya, simpan duit lebih banyak.

Namun satu impian terus bertahan dari tahun ke tahun, menghantui fikiran anak muda bandar dan pinggir kota ialah memiliki sebuah rumah sendiri.

Di tengah-tengah langit ekonomi tidak menentu, harga rumah mendaki tanpa belas, impian itu kini terasa semakin jauh, seolah-olah hanya tinggal poster motivasi di dinding bilik sewaan.

Persoalannya, adakah impian membeli rumah masih realistik buat generasi muda hari ini atau sekadar ilusi indah yang perlu dilepaskan dengan reda?

Dalam landskap ekonomi hari ini, anak muda bukan sahaja berdepan gaji tidak seiring kos sara hidup, malah dihimpit hutang pendidikan, komitmen keluarga dan gaya hidup bandar yang kian mahal.

Hakikat yang lebih menyedihkan, pasaran perumahan hari ini tidak lagi mesra anak muda. Harga rumah meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji, manakala deposit 10 peratus sudah cukup membuat ramai mengeluh panjang.

Bagi sesetengah pihak, menyewa dianggap rugi kerana tiada aset, namun bagi realiti hari ini, kaedah itu mungkin pilihan paling waras untuk mengelak jerat hutang dan tekanan kewangan berpanjangan.

Dari sudut analisis ekonomi sosial, pemilikan rumah bukan hanya perihal kemampuan membeli, tetapi soal masa, kestabilan dan keutamaan hidup.

Anak muda hari ini hidup dalam era serba pantas, mobiliti kerja tinggi dan ketidaktentuan pasaran. Membeli rumah terlalu awal tanpa asas kewangan kukuh berisiko mengorbankan kualiti hidup, kesihatan mental serta kebebasan membuat pilihan kerjaya.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohammad Noorizuddin Nooh, anak muda perlu melihat isu pemilikan rumah secara lebih realistik dan strategik, bukan mengikut tekanan masyarakat.

“Untuk anak muda yang ingin memiliki rumah tetapi berdepan pendapatan tidak stabil atau hutang pendidikan, perancangan kewangan menjadi kunci utama.

“Bajet bulanan perlu jelas, perbelanjaan mesti dikawal dan sasaran simpanan deposit harus ditetapkan lebih awal,” katanya kepada Kosmo!.

Tambah beliau, usaha meningkatkan pendapatan juga wajar diberi perhatian serius.

“Pendapatan tambahan melalui kerja sambilan, freelance atau peningkatan kemahiran mampu membuka peluang gaji yang lebih baik.

“Dalam masa sama, pengurusan hutang perlu dilakukan dengan bijak dan mengutamakan bayaran hutang berkadar faedah tinggi serta mendapatkan nasihat pakar kewangan jika perlu,” ujarnya.

Mengulas pilihan antara menyewa atau membeli, Noorizuddin menegaskan keputusan berkenaan tidak boleh digeneralisasikan.

“Jika pendapatan seseorang itu belum stabil atau hutang masih tinggi, menyewa lebih selamat bagi mengelakkan tekanan kewangan jangka pendek.

“Namun, bagi mereka yang merancang menetap lama di satu lokasi, membeli rumah boleh menjadi pelaburan berbaloi, terutama jika memanfaatkan skim bantuan kerajaan untuk pembeli rumah pertama,” tutupnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN