PETALING JAYA – Prestasi perdagangan luar Malaysia kekal kukuh apabila jumlah perdagangan barangan meningkat 13.6 peratus kepada RM277.6 bilion pada Oktober 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, pertumbuhan itu disokong oleh prestasi eksport yang meningkat 15.7 peratus, manakala import turut berkembang 11.2 peratus.
Susulan itu, imbangan dagangan negara kekal mencatat lebihan sebanyak RM19.0 bilion, walaupun sedikit menyusut berbanding bulan sebelumnya.
“Dari segi pasaran buruh, tenaga buruh Malaysia meningkat kepada 17.06 juta orang pada Oktober 2025.
“Kadar Penyertaan Tenaga Buruh kekal stabil pada 70.9 peratus, menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya,” jelas DOSM dalam satu kenyataan.
Sementara itu, kadar pengangguran kekal pada paras rendah iaitu 3.0 peratus, mencerminkan kestabilan pasaran pekerjaan negara.
Dalam perkembangan lain, Malaysia buat julung kalinya menduduki tangga pertama dunia dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25.
Pencapaian tersebut mengiktiraf komitmen negara terhadap keterbukaan data, dengan platform OpenDOSM NextGen menyediakan akses mudah kepada katalog dan visualisasi data rasmi negara. – KOSMO! ONLINE.














