fbpx
Keadaan dapur di sebuah premis di Jalan Jenjarum, Bukit Beruntung, yang diarah tutup serta-merta oleh MPHS.

Hurungan najis tikus, lipas, premis di Bukit Beruntung diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HULU SELANGOR – Bukan sahaja kotor, malah berisiko.

Itulah keadaan sebuah premis makanan di Bukit Beruntung, di sini yang diarah tutup serta-merta apabila najis tikus dan lipas dikesan berhampiran tempat penyediaan makanan.

Ops Suci itu dilaksanakan Bahagian Inspektorat, Jabatan Perkhidmatan dan Sanitasi Persekitaran Awam Majlis Perbandaran Hulu Selangor (JPSPPA MPHS) bersama Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Usahawan pada pukul 8 malam, Selasa lalu.

MPHS dalam kenyataannya berkata, pemeriksaan mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan serius termasuk kehadiran hurungan najis tikus dan lipas di kawasan penyediaan makanan.

“Selain itu, pengendali makanan tiada rekod suntikan pelalian antitifoid dan tidak menghadiri kursus pengendali makanan, tidak memakai pakaian pengendali yang baik dan tiada kawalan suhu makanan.

“Peralatan memasak juga tidak bersih, sistem pelepasan asap tidak disenggara, tandas tidak mencapai piawaian, lantai dapur licin dan bertakung air, sisa makanan dan minyak dilepaskan ke longkang awam akibat perangkap minyak tidak diselenggara,” katanya.

MPHS berkata, penggunaan bekas polisterina, alat pemadam api tamat tempoh serta amalan kebersihan yang berisiko menyebabkan pencemaran silang di premis tersebut.

Sehubungan itu, JPSPPA MPHS mengeluarkan 12 tawaran Notis Kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007.

Selain itu, sebanyak enam tawaran notis kompaun dikeluarkan, menjadikan jumlah keseluruhan nilai kompaun maksima sebanyak RM15,000.

“Tindakan penutupan serta-merta turut dikenakan ke atas premis selepas didapati berada di bawah piawaian kebersihan MPHS dengan kehadiran lipas, lalat, tikus dan nyamuk.

“Premis tersebut diarahkan ditutup selama 14 hari, bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dilaksanakan sebelum pemeriksaan semula dilakukan,” ujarnya.

MPHS berharap tindakan penguatkuasaan ini dapat memberi kesedaran kepada semua pengusaha premis makanan agar sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan.

“Amalan kebersihan yang baik bukan sahaja melindungi kesihatan pengguna, malah membantu meningkatkan imej perniagaan serta mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat untuk komuniti setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI