fbpx
Kerja-kerja pemadaman contengan vandalisme telah dilaksanakan oleh pihak DBKL di sekitar Bukit Bintang.

DBKL padam contengan vandalisme, gilap semula wajah Bukit Bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Wajah ibu negara yang dicemari perbuatan vandalisme tidak dibiarkan berlarutan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan pantas memadam contengan di sekitar kawasan tumpuan pelancong, Bukit Bintang.

DBKL dalam kenyataan berkata, kerja-kerja pemadaman itu dilaksanakan bagi memastikan persekitaran bandar sentiasa bersih, teratur dan sedap dipandang, sekali gus mencerminkan imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya bertaraf antarabangsa.

Menurutnya, tindakan tersebut melibatkan pembersihan serta mengecat semula dinding bangunan, tembok siar kaki dan hoarding tapak bina yang dicemari contengan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen DBKL dalam memelihara kebersihan dan estetika bandar, khususnya di kawasan tumpuan orang ramai dan pelancong,” kata kenyataan itu.

DBKL turut melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh di beberapa lokasi sekitar pusat bandar termasuk Lorong TAR, Masjid India, Lebuh Pudu (kawasan Segi Tiga), Medan Pasar, Lebuh Pasar Besar serta Bukit Bintang.

Katanya, tumpuan diberikan kepada cucian kawasan pejalan kaki, siar kaki, jalan raya dan persekitaran sekitar yang sering menjadi laluan utama orang ramai serta kawasan perniagaan.

Tambahnya, usaha berterusan tersebut bertujuan memastikan kawasan bandar berada dalam keadaan bersih, selesa dan terjaga demi keselesaan penduduk serta pengunjung.

Sehubungan itu, DBKL menyeru orang ramai agar bersama-sama memelihara kebersihan persekitaran bandar kerana kebersihan merupakan tanggungjawab bersama bagi memastikan Kuala Lumpur kekal indah dan terpelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN