TANJUNG MALIM – Usaha dan kesungguhan seorang pemuda yang menjual pelbagai jenis tanjak akhirnya membuahkan hasil apabila dia mampu memperoleh pendapatan kasar sehingga RM5,000 sebulan.
Zulkifli Sabli, 44, berkata, tanjak dewasa dan kanak-kanak yang dijualnya bukan sahaja laku pada musim perayaan, tetapi turut menerima tempahan daripada pelbagai pihak.
Katanya, ada pelanggan yang beli untuk tujuan peribadi selain bagi program kesenian dan persekolahan.
“Sebelum ini, tanjak hanya laku pada hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, tetapi kini produk itu boleh terjual setiap masa.
“Ada sahaja tempahan untuk program rasmi melibatkan agensi swasta dan kerajaan termasuk sekolah kerana boleh dipakai lama selain boleh diselaraskan mengikut ukuran kepala,” katanya ketika ditemui di premisnya di Persiaran Utama 2, Sungkai di sini semalam.
Katanya, setiap unit tanjak dijual bermula RM15 hingga RM39 dan hampir 90 peratus jualannya dibuat melalui medium TikTok.
“Jualan secara fizikal termasuk menyertai ekspo di sekitar negeri menyumbang sekitar 10 peratus, namun yang tertinggi ialah melalui TikTok iaitu semasa Hari Raya Aidilfitri dengan hasil mencecah RM12,000.
“Saya hanya beroperasi di rumah, jadi tidak sukar untuk saya menguruskan perniagaan ini. Dengan usaha ini, saya mampu melangsaikan pinjaman perumahan dengan segera selain membeli sebuah Proton Exora secara tunai.
“Saya juga sedang meneroka pasaran Melayu medium Shopee untuk menambah pendapatan bagi menyara isteri dan tujuh zuriat,” katanya.















