PETALING JAYA – Galeri Seni Lin Xiang Xiong mempersembahkan pameran khas sulungnya, Picasso dan Lin Xiang Xiong: Dialog Merentasi Masa, sebuah pameran yang meneroka tema universal keamanan melalui karya dua seniman berwawasan daripada era yang berbeza.
Pameran yang berlangsung sehingga 31 Mac 2026, bakal menghimpunkan lebih 60 karya Pablo Picasso termasuk litograf, fotolitograf, poster, cetakan dan karya sutera terpilih beserta ebih 300 lukisan oleh Profesor Lin Xiang Xiong.
Picasso, salah seorang seniman paling berpengaruh pada abad ke-20, telah mengharungi dua perang dunia, iaitu Perang Saudara Sepanyol dan awal Perang Dingin.
Seninya menjadi respons yang kuat terhadap keganasan, penderitaan manusia dan usaha global untuk keamanan, karya Picasso berfungsi sebagai suara awam menentang perang, menggunakan simbol berulang seperti burung merpati, sejambak bunga dan wajah manusia untuk menyampaikan harapan dan maruah.

Pengasas galeri seni tersebut, Lin Xiang Xiong berkata, karya-karya terpilih Picasso tidak pernah disimpan sebagai koleksi persendirian tetapi ia dicipta untuk diedarkan dalam masyarakat dan memasuki kehidupan masyarakat.
“Ia menjelmakan semangat ‘Seni untuk Keamanan.’ Seni bukan sahaja untuk dilihat,tetapi ia adalah platform untuk dialog sosial,” katanya dalam kenyataan.
Melalui pameran tersebut terdapat siri Le Visage de la Paix (Wajah Keamanan) yang mencerminkan maruah melalui wajah manusia, imej perang dan keamanan yang berbeza bagi menggambarkan konflik dan pilihan, poster daripada kongres keamanan, festival belia dan gerakan anti-perang.
Selain itu, terdapat juga simbol universal seperti burung merpati dan sejambak bunga, mengukuhkan keamanan sebagai mesej bersama.
“Para pengunjung pameran istimewa ini bukan sahaja dapat melihat karya seni yang berharga, malah mereka turut terlibat dengan arkib visual yang berkembang tentang bagaimana keamanan telah dibayangkan, disampaikan dan dikongsi merentasi masa.
“Memilih Picasso bukan tentang prestij artistik, tetapi tentang menghormati teladan tanggungjawab awamnya. Dalam saat-saat konflik yang ekstrem, Picasso memilih untuk bertindak balas, secara konsisten dan berkuasa. Komitmen itu membentuk asas pameran ini,” terang beliau. -KOSMO! ONLINE














